Corat-coret malam

|
Lebih kurang setahun lebih yang lalu, aku baru sahaja memulakan alam pekerjaan. Haluan yang kabur ku tetap lalui. Ku jatuh, ku bangun ku mula dari tingkat yang paling bawah. Hingga aku tertanya-tanya, inikah hidup yang bakal ku lalui setiap hari? Adakah aku insan yang kuat untuk menahan segala ketidakstabilan yang ada waktu itu?

Hari ini aku mengimbas kembali seakan masa-masa bermulanya aku di sini. Bezanya, aku sudah setahun lebih berpengalaman. Peristiwa pahit dan manis telah ku lalui. Aku dapat rasakan aku ada sedikit kemajuan berbanding masa lalu kerana pengalaman dan kesibukan setiap hari membuatku mempelajari sesuatu setiap masa. Aku berharap aku semakin yakin untuk maju ke hadapan walaupun aku tahu, tohmahan yang tidak mungkin enak di gegendang telinga kadangkala akan wujud pada bila-bila masa. Aku juga sudah belajar tentang talam dua muka. Aku hanya berdoa aku tidak tergolong dalam manusia sebegitu.

Kini, aku diberi kepercayaan berada di hadapan. Setiap hari, mula dan pulang. Itukah salah satu potensi yang ada dalam diri? Aku masih belum mendapat kepastian. Cuma nampaknya anak didik yang tidak ku kenali sudah mula menyapa diri ini. Itu tidak bermakna aku sudah menjadi seseorang. Jauh lagi perjalanan.

Rak-rak buku dari satu menjadi dua. Meja kerjaku juga bertimbun dengan buku. Satu hari jumlah buku menipis, hari itu juga jumlahnya meningkat. Satu hari nampak hampir kosong, hari itu juga penuh tiada tempat. Hari-hari akan datang juga pada minggu hadapan, terpaksa bekerja lebih kuat, 12 jam sehari. Maklumlah, perlu tiba ke sekolah jam 7.25 pagi. Aku bersyukur sekolahku dekat. Satu hari di tempat kerja, duduk di meja paling lama 1 jam sahaja. Lainnya? Ke hulur, ke hilir...

~ Setelah sebulan dengan sandal sukan tanpa stoking, akhirnya, hari ini kembali mencuba kasut dan stoking. Parutku terasa gatal sedikit dan kakiku melecet pula.

~ Bulan rezeki, kerana bonus yang masuk ke dalam akaun. Tiada niat untuk berbelanja pada bulan ini lantas bonus disalurkan pada akaun simpanan setelah 3 bulan tiada fulus untuk disimpan. Mentelah lagi, aku bukan kaki belanja. Perbelanjaanku selalunya pada buku-buku, alat tulis, keperluan komputer atau jika ada rezeki lebih, barang sukan. Alhamdulillaah.

~ Keinginanku selepas musyarawarah tadi untuk pulang dengan teksi terpaksa ku tahan. Semata-mata untuk menyimpan wang. Lebihan lagi, aku berpeluang untuk menyemak karangan murid aku di kereta api. Hanya berjaya menyemak 7 dari 38 karangan yang ada.

~ Esok sejurus selepas Subuh, keluarlah diri ini ke dunia luar dan pulang hingga larut malam gara-gara ke NS. Lusa pula, menyahut medan ilmu pada awal pagi dan kuiz pertama untuk modul itu yang hanya dapat ku baca tadi sewaktu perjalanan ke musyawarah setelah waktu kerja.

~ Malam ini, aku terkesima. Kerana pandangan manusia, kerana terimbas hidup yang lama. Namun demikian, hanya satu yang amat ku terasa di lubuk yang paling dalam yang aku harap Allah dapat membantuku.

X X X

intelektualku bukan setinggi mana...
intelektualku bukan seperti rakan-rakan lainku...
yang lebih pintar, lebih cerdik hingga berjaya ke menara gading...
aku masih lagi perlu usaha untuk ke sana...
suatu hari nanti...

malam ini sungguh syahdu...
Tuhan, berikanku kekuatan...

0 comments: